"You are the best of peoples evolved for mankind, You enjoin what is right and you forbid what is wrong, and you believe in Allah..." Sura Al Imran V110

7/29/2009

Jahiliyyah...Apa tu? Bodoh? Tak Tahu? Tak Maju?

Selalu dengar perkataan jahiliyyah?

Mudahnya, memandangkan bahasa arabnya pun jahiliyyah, maka kita yang menggunakan bahasa melayu ini akan melihat perkataan ‘jahil’ sebagai maknanya. Maka, kita takrifkan jahiliyyah itu sebagai bodoh, tidak tahu, tidak maju, dan sebagainya.

Sebab tu bila ada yang menyatakan bahawa, masyarakat hari ini terperangkap dalam suasana jahiliyyah, ramai orang menafikannya.

“Eh, mana ada. Dunia sekarang dah maju, bangunan dah tinggi-tinggi, jalan sana-sini pakai kereta motor, baju pun dah kemas-kemas, belajar sampai universiti, mana ada jahiliyyah”
Benarkah takrif jahiliyyah adalah semata-mata jahil?

Saya tak rasa tak pandai matematik itu adalah satu jahiliyyah, walaupun itu satu kejahilan.

Adakah Arab Quraisy itu dahulu orang-orangnya jahil? Tidak. Mereka adalah cerdik pandai, strategis dalam peperangan, pakar dalam ilmu sastera, hebat dalam perniagaan. Tetapi, kenapa kah mereka dikatakan sebagai masyarakat jahiliyyah?

Jadi hari ini saya hendak berkongsi dengan anda, apakah yang dikatakan jahiliyyah itu, menurut Al-Quran.

Kalau kita perhatikan, lafaz ‘jahiliyyah’ adalah antara lafaz-lafaz yang digunakan oleh Allah SWT dalam firman-firmanNya di dalam Al-Quran.

Ibn Taimiyyah dalam menjelaskan makna lughawi ‘jahl’ mengatakan:

“Iaitu tidak mempunyai ilmu atau tidak mengikut ilmu. Maka orang yang tidak tahu haq, dia adalah jahil ringan. Tetapi jika dia meyakini sesuatu yang bertentangan dengan haq sebagai suatu kebenaran, dia disebut jahil berat. Demikian pula, orang yang mengamalkan sesuatu yang bertentangan dengan haq, dia tetap disebut jahil meski pun dia tahu bahawa hal itu bertentangan dengan haq.”

Tidak mempunyai ilmu itu jahil. Tidak mempunyai ilmu matematik itu jahil. Kita gunakan jahil dalam keadaan sebegini. Tetapi lafaz jahiliyyah, kita gunakan mengikut apa yang Allah gunakan dalam firman-firmanNya. Hal ini kerana, untuk lafaz jahiliyyah yang sering kita gunakan apabila kita menunjuk kepada masyarakat yang tidak mengamalkan Islam, seperti kaum Quraisy, atau mereka yang tidak mengamalkan Islam dengan sebenar, lafaz jahiliyyah ini membawa maksud: Tidak faham/tidak tahu Islam, atau pun tahu/faham Islam tetapi tidak mengamalkannya, malah ada yang menentang.

Mari kita perhatikan, jahiliyyah-jahiliyyah yang digunakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

“Dan kami seberangkan Bani Israel ke seberang lautan itu, maka setelah mereka sampai kepada suatu kaum yang tetap menyembah berhala mereka, Bani Israil berkata: Hai Musa buatlah untuk kami sebuah sembahan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa sembahan. Musa menjawab: Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.”
Surah Al A’raf ayat 138.

Kata ‘jahl’ dalam ayat di atas menunjukkan tidak adanya kefahaman tentang uluhiyyah. Ini kerana mereka tidak tahu bahawa Allah Subhanahuwataala itu:

“Tidak ada sesuatu pun serupa dengan Dia.”
Surah Asy-Syuaara ayat 11.

“Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata.”
Surah Al-An’aam ayat 103.

“Pencipta segala sesuatu, maka sembahlah Dia dan Dia adalah pemelihara segala sesuatu.”
Surah Al An’aam ayat 102.

Allah Subhanahuwataala bukan makhluk dan sifat-Nya tidak sama seperti sifat makhluk.
Sekiranya Bani Israil memahami hakikat uluhiyyah seperti di atas, maka sudah tentu mereka tidak akan bertanya atau meminta sesuatu yang membuktikan kejahilan mereka, yakni meminta dibuatkan berhala seperti penyembah-penyembah berhala.

Dalam firman-Nya yang lain pula, Allah SWt berfirman:

“Sedang segolongan lagi telah dicemaskan oleh diri mereka. Mereka menyangka yang tidak benar terhadap Allah seperti sangkaan jahiliyyah. Mereka berkata: Apakah ada bagi kita barang sesuatu (hak campur tangan) dalam urusan ini?”
Surah Ali Imran ayat 154.

Golongan di atas ini telah dicela oleh Allah SWT kerana mereka mempersoalkan hakikat uluhiyyah Allah SWT, dengan tidak meyakini bahawa segala urusan di dalam dunia ini berada dalam kekuasaanNya. Mereka menyangka, pasti ada juzu’ dalam dunia ini yang tidak ditadbir oleh Allah SWT. Mereka tidak memahami bahawa, seluruh dunia ini, termasuklah yang berada di akhirat nanti adalah di dalam kekuasaan Allah SWT, dan Allah SWT tidak perlu bermesyuarat dengan makhluk untuk melakukan sesuatu dalam pentadbiran alam ini.
Allah SWT berfirman:

“Katakanlah: Sesungguhnya urusan itu seluruhnya di tangan Allah.”
Surah Ali Imran ayat 154.

Allah SWT berfirman:
“Dan orang-orang yang tidak mengetahui berkata: Mengapa Allah tidak (langsung) berbicara dengan kami atau datang tanda-tanda kekuasaanNya kepada kami? Demikian pula orang-orang yang sebelum mereka telah mengatakan seperti ucapan itu. Hati mereka serupa. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kekuasaan Kami kepada kaum yang yakin.”
Surah Al Baqarah ayat 118

Ayat di atas menunjukkan kejahilan mereka berhubung persoalan Uluhiyyah, iaitu mereka tidak tahu bahawa Allah Subhanahuwataala tidak berbicara dengan manusia melainkan melalui wahyu atau di belakang ‘tabir’ seperti dalam firmanNya:

“Dia tidak ada bagi seorang manusia pun bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan perantaraan wahyu atau di belakang tabir atau mengutuskan seorang utusan (Malaikat) lalu diwahyukan kepadanya dengan seizinNya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana.”
Surah As Syura ayat 51.

Dan jahiliyyah ini tidak pula terhenti sekadar tidak tahu/tidak faham/tidak meyakini berkenaan kekuasaan, uluhiyyah Allah SWT semata-mata. Jahiliyyah juga membawa maksud tidak tahu/tidak faham/tidak meyakini berkenaan perintah-perintah Allah SWT dalam hal-hal akhlak, ibadah dan sebagainya.

Allah SWT berfirman:
“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu”
Al Ahzab ayat 33.

Maksud jahiliiyah dalam firman Allah SWT ini adalah berkaitan dengan akhlak yang tidak mengikuti panduan rabbani. Dlaam kata lain, akhlak ini tidak selaras dengan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Hal ini telah menjadii satu penyimpanngan dari kewajipan rasa malu dalam berpakaian, serta mempamerkan hiasan kepada yang bukan mahram.

Nabi Yusuf ada berdoa kepada Allah SWT, selepas peristiwa Zulaikha dan para perempuan yang memotong jarinya:

“Dan jika tidak Engkau hindarkan daripada aku akan tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung (memenuhi keinginan jahat mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang jahil.”
Surah Yusuf ayat 33.

Pengertian jahil dalam ayat di atas juga berkaitan dengan suluk yang tidak selaras dengan panduan Rabbani. Iaitu mengenai perbuatan serong dengan wanita dan terlibat dalam perbuatan haram. Perbuatan yang bertentangan dengan panduan Rabbani itulah yang ditakuti oleh Nabi Allah Yusuf. Kerana itu dia berlindung dengan Allah Subhanahuwataala.

Firman Allah SWT lagi:
“Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam hati mereka kesombongan (iaitu) kesombongan jahiliyyah.”
Surah Al Fath ayat 26.

Apa yang dikatakan jahiliyyah di dalam ayat di atas ini adalah, orang-orang kafir itu telah berperang di atas kesombongan yang tertanam di dalam hati mereka. Allah SWT melarang hal ini, dan kaum muslimin jika mengangkat senjata, mestilah mengangkat senjata atas haq, bukan kerana diri sendiri, bukan kerana kesombongan dan ta’asub. Sebab itu, anda akan mendapati kisah Saidina Ali RA yang menghentikan libasan pedangnya kepada seorang kafir yang meludahnya ketika peperangan. Orang kafir itu bertanya: “Kenapa kau tidak membunuh aku, walaupun aku sudah berada di bawah kekuasaanmu, tambahan aku telah meludahmu?”

Saidina Ali menjawab: “Aku takut aku membunuhmu bukan kerana Allah, tetapi kerana marah”

Seterusnya, firman Allah SWT lagi:
“Apakah hukum jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin.
Surah Al-Maidah ayat 50.

Ayat di atas ini juga ada mempunyai kalimah jahiliyyah di dalamnya. Ayat ini berkenaan pemerintahan, mengambil hukum. Kalau kita perhatikan di dalam ayat ini, sekiranya kita ini mengambil hukum selain hukum Allah, maka itu dinamakan mengambil hukum jahiliyyah. Walaupun kita mengambil hukum-hukum itu dari logik akal yang advance, daripada cerdik pandai, daripada negara maju seperti barat dan sebagainya. Maka, masyarakat yang mengambil hukum selain hukum Allah, itu adalah masyarakat jahiliyyah.

Allah SWT berfirman:
“Barangsiapa tidak menutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”
Surah Al-Maidah ayat 47.

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, mereka itu penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.”
Surah Al-A’raaf ayat 36.

Begitulah sebenarnya apa yang dikatakan jahiliyyah. Mudah ceritanya, apa sahaja yanng bertentangan dengan tuntutan Allah SWT, dan berlainan pula dengan apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, maka itu adalah jahiliyyah.

Kita, perlu membenci jahiliyyah ini dari dalam hati kita. Tanpa kebencian kepada jahiliyyah ini, maka kita sukar untuk merengkuhnya dari kehidupan kita. Sama-sama kita perhatikan, maka kita akan lihat bahawa, pasti ada salah satu dari jahiliyyah-jahiliyyah ini yang masih melekat pada kita. Justeru, kita perlu cabut jahiliyyah ini dari kehidupan kita.

Kita benci jahiliyyah ini sebenci-bencinya. Kita rasa jijik dengan jahiliyyah ini. Tetapi, kita tidak pula benci dan jijik dengan orang yang terperangkap dengan jahiliyyah. Yang kita benci adalah jahiliyyah pada orang/masyarakat itu. Sebab itulah, kita berusaha bersungguh-sungguh merengkuh jahiliyyah yang ada pada orang/masyarakat itu.

Ubat dan penawar untuk jahiliyyah ini hanya satu, yakni pulang kepada Allah dan mengikuti ajaran rasul-Nya.Sama-sama kita berusaha, untuk membersihkan jahiliyyah dari kehidupan kita, dan kehidupan masyarakat sekeliling kita!

7/15/2009

Muslimat Mesir Di Jerman Dibunuh Kerana Bertudung

Kisah tragis umat Islam dibunuh dan diseksa terus menerus berlaku seolah-olah tiada petunjuk yg ia akan berhenti. Dari Palestin, Bosnia, selatan Thai dan yang terbaru di masjid Al-Furqan terus meragut nyawa umat Islam yang tidak berdosa. Kezaliman ke atas umat Islam di Umruqi, China mengajak umat Islam perlu melakukan sesuatu. Persidangan negara-negara Islam OIC seakan-akan lesu dan tidak mampu membela nasib umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Ikuti kisah bagaimana muslimat Mesir yang menetap di Jerman dibunuh (ditikam 18kali) semata-mata kerana bertudung dan dianggap sebagai pengganas. Malah suaminya turut ditikam sebanyak 3 kali. Difahamkan Marwa Al Sherbini 32 tahun, sedang mengandung 4 bulan. Kejadian berlaku di Dresden di dalam mahkamah ketika perbicaraan sedang berlaku. Difahamkan Marwa diganggu oleh seorang lelaki yang memaksa beliau menanggalkan tudung. Ketika suaminya cuba menyelamatkan Marwa selepas ditikam, para pengawal keselamatan menembak suaminya dan dilaporkan suaminya berada dalam keadaan kritikal.

Source;
http://www.expatica.com/de/news/local_news/Egyptian-woman-killed-in-German-court-drama-_54201.html

7/02/2009

8 Kesan Akibat Perbuatan "MAKSIAT"

TIAP kita pasti pernah berbuat dosa sama ada yang disedari atau yang tidak kita sedari. Dosa yang kita lakukan kemudian memberikan kesan kepada hati dan kehidupan kita. Dalam sedar atau tidak, hati kita menjadi tidak tenang dan kesulitan demi kesulitan datang dan pergi.
Sebagai seorang muslim, kita dituntut untuk selalu memperkemaskan diri, memperbaharui iman kita agar tidak terus menerus terjebak dalam dosa. Kita berdoa kepada Allah semoga kita semua dijaga dari dosa, dan mendapatkan pengampunan ketika kita melakukan dosa.
Dosa yang kita lakukan pasti akan mengakibatkan kesan dalam kehidupan kita. Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah, jika kita melakukan maksiat maka akan mengakibatkan lapan kesan.
Pertama, menghalangi ilmu.
Ilmu, begitulah yang ditulis ulama yang juga murid dari Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah itu, adalah sinar yang diletakkan Allah di hati, sedangkan maksiat memadamkan sinar tersebut. Imam Syafi’i pernah mengeluhkan kepada gurunya betapa susahnya beliau dalam menghafal. Gurunya, Waki’ menasihatinya untuk meninggalkan maksiat. “Ketahuilah bahwa ilmu itu anugerah dan anugerah Allah tidak diberikan kepada pelaku maksiat,” begitu kata sang guru.
Kedua, menghalangi rezeki.
Jika kita bertakwa kepada Allah, maka Allah membuka pintu rahmat-Nya kepada kita. Sedangkan jika kita bermaksiat, maka kita akan mendapatkan penghidupan yang sempit. Dalam kitab Musnad disebutkan, “Sesungguhnya seorang hamba tidak mendapatkan rezeki kerana dosa yang dikerjakannya.”
Ketiga, menimbulkan kerisauan dan kesepian dalam hati.
Tiap kita pasti tidak ingin selalu risau dan kesepian. Kemaksiatan membuat kita selalu was- was kerana kita telah terbius oleh biusan syaitan yang merasuk dalam hati. Semakin sepi kita semakin menjauh kita dari majlis pengajian, semakin jauh hati kita dari ayat-ayat Allah Swt. Maksiat membuat kita risau selalu dan hati yang sepi dan gersang seperti gersangnya padang sahara.
Keempat, mendatangkan kesulitan.
Orang yang maksiat akan sulit hidupnya. Maukah kita mendapatkan kehidupan yang sulit? Tentu tidak! Kesulitan dalam hidup akan membawa kita pada stress dan stress akan membawa kita pada ketidakseimbangan dalam menjalani kehidupan.
Kelima, menimbulkan kegelapan dalam hati.
Kegelapan dalam hati, kata Imam Ibnu Qayyim akan dirasakan seseorang seperti gelapnya malam. Bila ia diberi petunjuk, kegelapan maksiatnya masuk menutupi hatinya, seperti perasaan menutupi penglihatannya. Setiap kali kegelapan menimpa kita, kita pun akan kebingungan, akhirnya dengan terbang bebaslah kita melakukan bid’ah dan dosa.
Abdullah bin Abbas berkata, “Sesungguhnya untuk kebaikan ada cahaya pada wajah, sinar pada hati, kelapangan pada rezeki, kekuatan pada badan, dan kecintaan dari hati banyak orang terhadap dirinya. Adapun perbuatan buruk menimbulkan warna hitam pada wajah, kegelapan dalam hati, kelemahan pada badan, kekurangan pada rezeki, dan rasa benci kepadanya di hati banyak orang.”
Keenam, melemahkan hati dan badan.
Kemaksiatan akan mempengaruhi hati dan badan kita. Seorang pelaku maksiat, walau badannya kuat dia akan terlihat lemah. Itu kerana hatinya yang kotor diselimuti dosa. Dalam peperangan kita saksikan betapa yang menentukan menang tidaknya pasukan bukanlah karena faktor badan yang kuat semata, akan tetapi tergantung pada seberapa besar kekuatan iman di dalam dada. Pasukan Islam yang sedikit begitu sering mengalahkan pasukan kaum kafir yang berlipat-lipat, itu kerana faktor iman dan jauh dari kemaksiatan.
Ketujuh, menghalangi ketaatan.
Seorang pendosa akan tidak taat kepada Allah. Ibnu Qayyim mentamsilkannya dengan seorang laki-laki yang makan suatu makanan yang mendatangkan penyakit yang akhirnya mencegahnya dari berbagai macam makanan yang enak dan baik. Lihatlah pelaku maksiat! Dia selalu jauh dari sinar taat.
Kelapan, mengurangi umur dan mengikis berkah.
Kebaikan akan menambah umur, sedangkan kejahatan akan mengurangi umur. Ini memang menjadi ikhtilaf para ulama. Menurut Ibnu Qayyim, mengurangi umur kerana hilangnya berkah. Jadi, kerana berkahnya hilang, maka lambat laun ajal pun begitu cepat menjemputnya.
Ulama yang lain mengatakan bahwa bertambah atau berkurangnya umur tidak disebabkan kerana suatu sebab. Mereka mengatakan, rezeki dan ajal, bahagia dan sengsara, kesihatan dan penyakit, kekayaan dan kemiskinan, merupakan ketentuan dari Allah saja.
Menurut Ibnu Qayyim dalam bukunya Ad-Da’u Wad Dawa’ (diterjemahkan oleh Qisthi Press dengan Terapi Penyakit Hati) mengatakan bahwa umur produktif manusia adalah umur yang digunakannya untuk kebaikan dan takwa kepada Allah. Selain itu, bukanlah umur produktifnya. Jadi, jika seseorang hanya sibuk dengan kemaksiatannya, maka hilanglah hari-hari hidupnya yang hakiki. Akhirnya mereka pun menyesal dan berkata dengan perkataan yang diabadikan dalam Al-Qur’an, “Aduhai, sekiranya dulu aku berbuat baik untuk hidupku sekarang ini.” (QS. Al-Fajr: 24).
Kelapan-lapan akibat dari maksiat ini penting sekali untuk kita fikirkan bersama. Betapa sering dalam hari-hari kita terjangkiti oleh virus maksiat. Di rumah dijangkiti dengan virus maksiat televisyen, betapa banyak drama dan gosip maksiat yang didedahkan kepada kita. Keluar rumah, seorang lelaki dijangkiti dengan melihat aurat yang tidak halal baginya. Di pejabat, kampus dan pasar kita terdedah dengan kemaksiatan yang senantiasa ada.
Kita ingin menjauh, tapi bala tentara maksiat itu selalu datang menyerang. Kita pun mencuba menggunakan pelindung jaga diri, tapi terkadang iman kita lebih lemah berbanding ‘iman’ bala tentara syaitan. Segala yang kita lakukan dengan kekuatan diri sendiri pun terlihat begitu lemah di hadapan maksiat. Kita akan boleh bertahan, hanya dan hanya jika kita berusaha sekuat tenaga untuk iffah (menjaga diri) sekaligus meminta bantuan dari Allah Swt agar senantiasa menjaga kita dari dosa-dosa maksiat. Semoga Allah menjaga kita semua dari kemaksiatan dan mengampuni dosa kita yang secara sedar atau tidak pernah kita lakukan.
sumber:
"Delapan Efek Maksiat"
Oleh Yanuardi Syukur